Khamis, 15 April 2010

Sayapku Patah


Sesekali tidak pernah aku menduga sayap aku akan patah dalam pertengahan hidupan ini yang baru mencecah dua abad. Bagaimanapun aku mencuba untuk memperbaiki dan terbang kembali seperti sedia kala dalam detak jantung yang berdebar - debar ini. Namun menyerah kalah itu bukan satu alasan untuk aku mati kerana sayap aku musnah disebabkan ianya belum terkubur lagi. Aku akan terus berjalan, berlari dan menerjah awan lagi dengan sayap ini kembali hingga nafas yang terakhir. Percayalah, dengan izin Tuhan sekiranya diizinkan.

Sayap - sayap aku ini bukan sayap seperti burung - burung yang berterbangan, tetapi ibu dan bapa aku adalah sayap yang selama ini menerbangkan aku tinggi menerjah kehidupan walaupun diterjang dengan taufan tatkala di awan biru mencari makna kehidupan. Aku mencari erti kehidupan dalam keadaan yang sempurna dan terurus. Menikmati hidup dengan sebaik - baiknya seperti bulan dan pijarnya memijarkan cahaya dalam kegelapan malam umpama pelita di alam semesta yang menerangi bumi ini. Apalah erti tugasnya bulan dan bintang memijarkan cahaya kepada kegelapan hidup mahupun dunia ini, andainya tidak dihargai oleh manusia. Ibarat pintu kejayaan diketuk namun tidak terbuka.

Sayap aku kini tinggal satu iaitu Mama, namun masih kuat untuk bertahan walaupun patah dilanda ujian Tuhan demi untuk bertarung untuk hidupnya kini. Entah apa yang dimimpinya, semoga Tuhan memberi petunjuk dalam mimpinya hingga dia sedar dalam kesyukuran, begitu juga aku. Namun Papa, sayapnya telah kembali kepada penciptaNya dan kerana inilah aku mahukan sayap yang keseorangan ini tidak meninggalkan aku lagi dalam keadaan yang tidak bersedia lagi. Tuhan itu pencipta wujudnya sejak azali, sudah memahaminya tercipta manusia untuk tujuan apa dan apa yang ditetapkan bagi sebaik - baiknya manusia itu.

Isnin, 5 April 2010

Mencari Senyuman

Perjalanan harian aku kini bertubi - tubi didatangi pelbagai bencana, bukan bencana alam tetapi bencana hati. Selepas kemarau hadir dalam hati telah diturunkan pula hujan resah dalam diri kini. Entah apa yang harus dilakukan kerana hati ini sudah seperti mahu pergi tinggalkan kesemua deria rasa yang datang bertubi - tubi namun belum masanya untuk aku mengaku kalah. Aku bertanyakan pada diri sendiri, "Sudah cukupkah solat lima waktu? Sudah cukupkah amalan?". Aku terdiam mengingatkan pertanyaan itu, namun aku tidak sekuat dulu untuk menempuh dugaan dan aku takut pula untuk menutup mata sebelum aku penuhi syarat - syarat tadi. Persoalan yang bermain - main kini, mengapa? Kenapa harus di uji? Kerana aku bersikap menerima sahaja apa yang diberikan? Tidak. Aku tidak mampu untuk menanggungnya lagi kerana aku sudah berputus asa.

Aku membisu mengenai pembedahan yang baru aku jalani kerana aku berasa ianya tidak seharusnya dihebahkan disebabkan oleh kerana pembedahan biasa. Namun segelintirnya mengambil berat tentangnya namun aku tidak seharusnya ada bersikap sedemikian memandangkan ada yang mengambil berat tentangnya. Maafkan aku. Kini aku bercelaru kembali mengenai hati dan tentang mama. Mama pula menggantikan tempat aku kini di hospital. Mengapa hati orang tua sedemikian? Aku tidak menyalahkan mama bagaimanapun penyakitnya seharusnya diberi perhatian lebih daripada aku sendiri. Mungkin wanita - wanita ingin difahami oleh orang yang berada dekat dengannya. Sekali lagi bencana hati hadir dalam hidup aku kini. Mengapa Tuhan? Di uji begini sekali lagi.

Dugaan itu sebenarnya mengajar erti kesabaran. Aku ada sahaja ingin dipersoalkan mengapa dan kenapa. Tetapi aku cuma manusia yang sudah tertulis perjalanannya yang merealitikan apa yang telah tertulis kini. Aku manusia yang terlalu mengikut hati, mahu itu dan ini. Selama aku hidup ini aku cuma memohon untuk sebuah senyuman ikhlas daripada hati sendiri dan kini aku mencari senyuman yang aku idam - idamkan. Namun senyuman itu sudah tidak dikawal oleh aku lagi kerana ramalan cuaca kini tidak lagi dapat di baca oleh aku. Hampa.