Khamis, 15 April 2010

Sayapku Patah


Sesekali tidak pernah aku menduga sayap aku akan patah dalam pertengahan hidupan ini yang baru mencecah dua abad. Bagaimanapun aku mencuba untuk memperbaiki dan terbang kembali seperti sedia kala dalam detak jantung yang berdebar - debar ini. Namun menyerah kalah itu bukan satu alasan untuk aku mati kerana sayap aku musnah disebabkan ianya belum terkubur lagi. Aku akan terus berjalan, berlari dan menerjah awan lagi dengan sayap ini kembali hingga nafas yang terakhir. Percayalah, dengan izin Tuhan sekiranya diizinkan.

Sayap - sayap aku ini bukan sayap seperti burung - burung yang berterbangan, tetapi ibu dan bapa aku adalah sayap yang selama ini menerbangkan aku tinggi menerjah kehidupan walaupun diterjang dengan taufan tatkala di awan biru mencari makna kehidupan. Aku mencari erti kehidupan dalam keadaan yang sempurna dan terurus. Menikmati hidup dengan sebaik - baiknya seperti bulan dan pijarnya memijarkan cahaya dalam kegelapan malam umpama pelita di alam semesta yang menerangi bumi ini. Apalah erti tugasnya bulan dan bintang memijarkan cahaya kepada kegelapan hidup mahupun dunia ini, andainya tidak dihargai oleh manusia. Ibarat pintu kejayaan diketuk namun tidak terbuka.

Sayap aku kini tinggal satu iaitu Mama, namun masih kuat untuk bertahan walaupun patah dilanda ujian Tuhan demi untuk bertarung untuk hidupnya kini. Entah apa yang dimimpinya, semoga Tuhan memberi petunjuk dalam mimpinya hingga dia sedar dalam kesyukuran, begitu juga aku. Namun Papa, sayapnya telah kembali kepada penciptaNya dan kerana inilah aku mahukan sayap yang keseorangan ini tidak meninggalkan aku lagi dalam keadaan yang tidak bersedia lagi. Tuhan itu pencipta wujudnya sejak azali, sudah memahaminya tercipta manusia untuk tujuan apa dan apa yang ditetapkan bagi sebaik - baiknya manusia itu.

Isnin, 5 April 2010

Mencari Senyuman

Perjalanan harian aku kini bertubi - tubi didatangi pelbagai bencana, bukan bencana alam tetapi bencana hati. Selepas kemarau hadir dalam hati telah diturunkan pula hujan resah dalam diri kini. Entah apa yang harus dilakukan kerana hati ini sudah seperti mahu pergi tinggalkan kesemua deria rasa yang datang bertubi - tubi namun belum masanya untuk aku mengaku kalah. Aku bertanyakan pada diri sendiri, "Sudah cukupkah solat lima waktu? Sudah cukupkah amalan?". Aku terdiam mengingatkan pertanyaan itu, namun aku tidak sekuat dulu untuk menempuh dugaan dan aku takut pula untuk menutup mata sebelum aku penuhi syarat - syarat tadi. Persoalan yang bermain - main kini, mengapa? Kenapa harus di uji? Kerana aku bersikap menerima sahaja apa yang diberikan? Tidak. Aku tidak mampu untuk menanggungnya lagi kerana aku sudah berputus asa.

Aku membisu mengenai pembedahan yang baru aku jalani kerana aku berasa ianya tidak seharusnya dihebahkan disebabkan oleh kerana pembedahan biasa. Namun segelintirnya mengambil berat tentangnya namun aku tidak seharusnya ada bersikap sedemikian memandangkan ada yang mengambil berat tentangnya. Maafkan aku. Kini aku bercelaru kembali mengenai hati dan tentang mama. Mama pula menggantikan tempat aku kini di hospital. Mengapa hati orang tua sedemikian? Aku tidak menyalahkan mama bagaimanapun penyakitnya seharusnya diberi perhatian lebih daripada aku sendiri. Mungkin wanita - wanita ingin difahami oleh orang yang berada dekat dengannya. Sekali lagi bencana hati hadir dalam hidup aku kini. Mengapa Tuhan? Di uji begini sekali lagi.

Dugaan itu sebenarnya mengajar erti kesabaran. Aku ada sahaja ingin dipersoalkan mengapa dan kenapa. Tetapi aku cuma manusia yang sudah tertulis perjalanannya yang merealitikan apa yang telah tertulis kini. Aku manusia yang terlalu mengikut hati, mahu itu dan ini. Selama aku hidup ini aku cuma memohon untuk sebuah senyuman ikhlas daripada hati sendiri dan kini aku mencari senyuman yang aku idam - idamkan. Namun senyuman itu sudah tidak dikawal oleh aku lagi kerana ramalan cuaca kini tidak lagi dapat di baca oleh aku. Hampa.

Khamis, 11 Mac 2010

laluan, beri laluan

Perbezaan antara perempuan dan lelaki, sudah semestinya tetapi cinta buatkan perbezaan itu tiada. Aku mula memendam rasa buat pertama kali setelah hampir dua tahun ini. Takut, ya takut akan kekecewaan itu lagi namun masih mencuba untuk menghadapinya dengan keberanian. Kematangan, mungkin kematangan itu sedikit sebanyak memberi laluan kepada cara menghargai dan menerima segala kemahuan seseorang perempuan. Sebenarnya sabar itu kunci, diam itu respon dan menerima itu kematangan.

Sabar itu kunci. Sabar itu kunci bagi kesemua perkara baik masalah yang asas mahupun tidak. Kesabaran itu dituntut dalam agama dan seringkali diuji dalam fasa pengujian Tuhan. Jadi sabarlah dengan perempuan dan itu juga yang telah aku lakukan dulu dan telah dipraktikkan kini.

Diam itu respon. Diam tidak beerti kesemua perkara kita diamkan tanpa berbuat apa - apa pun. Adakalanya berdiam itu respon kepada kemarahan yang tidak mampu diluahkan (demi menjaga hati), berdiam itu juga beerti kita berfikir sebelum berkata - kata dan berdiam itu juga sebagai tanda menghormati kepada perempuan.

Menerima itu kematangan. The best part, ya menerima itu kematangan. Segala percakapan tidaklah semuanya kita mampu menerima, pasti di mulut ingin dibidas dengan apa yang difikirkan anda ketika itu namun untuk mencapai kematangan dalam kehidupan, anggap lah menjadi pendengar lebih baik daripada bercakap. Perempuan memerlukan seseorang yang mampu respon walaupun anda berdiam, mampu bersabar walaupun kata - katanya buatkan anda tidak senang. Kuncinya adalah, terima sahaja dan buktikan itu adalah kematangan anda.

Maaflah, aku lelaki dan penulisan aku ini ditujukan kepada sang Hawa kepada sang Adam, kita sama - sama praktikkan. Aku cuba praktikkan kunci - kunci kebahagiaan ini selama aku bersembunyi dalam diam. Untuk kekasih nanti, aku buktikan. Beri laluan, laluan kepada seseorang yang anda cintai. Yang pastinya sudah ada perkembangan, aku mulai memendam rasa ingin bercinta semula!


Rabu, 10 Mac 2010

Berkongsi dengan papan kekunci

Salam berpasti.

Memulakan dengan Bismillahirrahmanirrahim sebagai kekuatan dan permulaan. Mudah - mudahan diberkati. Dalam catatan pena maya kali ini adalah sebagai perkenalan anda kepada sang penulis yang juga sang teruna yang bersendirian di dalam ideologinya sendiri dalam menulis dan berkarya mengenai baik kehidupan mahupun bangsat kehidupan sehariannya. Bagaimanapun telah diputuskan laman maya ini adalah penulisan kebenaran mengenai daily routine-nya dalam mentelaah kehidupannya sendiri.

Babak cinta, adalah main topic. Maaflah, itulah identiti aku sebagai penulis yang berwarna dalam ilustrasi maya untuk kali ini. Dewa 19 adalah guru cinta berbahasa melayu yang mudah difahami walaupun terlalu luarbiasa untuk difahami susunan kata - kata dalam stanza lirik lagu namun hakikat sebenar Jewish itu ikutan mereka dalam berselindung dengan lagu yang puitis. Ikutlah lagu dan bukan latar mereka seperti aku sendiri. Bercerita mengenai ceritera cinta, aku masih bersendirian dari tahun ke tahun yang baru dan kekasih hati kini adalah penulisan maya ini dan lagu - lagu cinta, tidaklah terlalu sepi.

"Musika Dalam Trauma". Pasti ada pertanyaan mengapa dinamakan sebegitu. Pada aku ianya indah dalam asonansi walaupun terdapat metafora tersendiri. Sengaja. Sengaja di namakan laman maya aku dalam berkeadaan bogel sebelum berbaju. Lebih jelas, aku bermula daripada peta minda sebelum ke isi - isi penting dan penutup dalam mencari gaya yang tersendiri dalam berkarya dalam penulisan pena maya ini. Musika dalam trauma, memperjelaskan ini adalah evolusi dan revolusi dalam kehidupan aku dari hari ke hari yang pasti, ianya adalah sebuah nama.

Ini tanganku.. Untuk kau genggam,
Ini tubuhku.. Untuk kau peluk,
Ini bibirku.. Untuk kau cium,
Tapi tak bisa untuk kau milikki.. Aku

Dewa 19, "Elang"